
KELANTAN 2
Mohd Badhri Radzi (m-2)
S Chanturu (m-90+3)
NEGERI SEMBILAN 1
Ahmad Shakir Mohd Ali (m-53)
KOTA BHARU – Kekecewaan dalam perlawanan Sumbangsih pada Januari lalu akhirnya berjaya ditebus oleh The Red Warriors setelah menumbangkan juara Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Jaringan dalam masa tambahan menerusi pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Ekspres’, S Chanturu memastikan Kelantan kekal di puncak liga sejak enam perlawanan lalu dan pengendali baru, Bojan Hodak seharusnya berbangga setelah lulus ‘ujian pertama’ dalam perlawanan malam tadi.
Ketika perlawanan baru memasuki minit kedua, pasukan Negeri Sembilan dikejutkan dengan gol awal apabila rembatan kencang Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi terbias G Mahathevan dan bola tersebut menerjah masuk mengelirukan Mohd Farizal Marlias digawang golnya.
Tersentak dengan gol tersebut pasukan Negeri Sembilan kembali menggandakan asakan dan kesilapan Indra Putra Mahayuddin yang tertolak ke belakang dua minit kemudian pantas disambar penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd Ali namun rembatan leretnya pula tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan.
Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra hampir menjaringkan gol kedua Kelantan pada m-14 perlawanan namun rembatan kencangnya dari jarak 25 meter dikuis keluar Mohd Farizal bagi menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
Tujuh minit berselang, Kelantan sekali lagi terlepas peluang untuk terus mengukuhkan kedudukan apabila hantaran lintang S Chanturu di depan pintu gol pasukan pelawat ketika Mohd Farizal sudah pun tertewas di posisinya gagal disambar rakan sepasukan yang lain.
Mohd Norfarhan Muhammad turut terlepas peluang untuk mencatat nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi apabila rembatannya pada m-28 perlawanan berpunca umpanan Muhammad Ramzul Zahini Adenan diselamatkan Mohd Farizal sekali lagi.
Bersambung babak kedua, The Red Warriors terus rancak melakukan serangan namun percubaan Indra Putra pada m-48 sempat ditepis keluar Mohd Farizal sementara tandukan cantik Muhammad Ramzul Zahini empat kemudian pula sekadar menerjah jaring sisi sebelah kanan pintu gol pasukan Negeri Sembilan.
Seminit kemudian, penyerang kebangsaan, Ahmad Shakir memastikan kegembiraan di kem Negeri Sembilan apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan. Kesilapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menangkap kemas pantas direbut Effa Owona yang menyilangkan bola kepada Ahmad Shakir sebelum menanduk masuk menjadikan kedudukan terikat 1-1.
Gol penyamaan tersebut walaubagaimanapun tidak memberikan tekanan kepada barisan pemain The Red Warriors sebaliknya mereka dilihat terus bersemangat mengatur serangan selepas itu. Malah pujian harus diberikan kepada bek kental Kelantan, Nwaneri yang beraksi cemerlang mengekang pergerakan Jean Emmanuel Effa Owona yang sememangnya tenggelam dalam perlawanan malam tadi.
Pada m-56 perlawanan, Mohd Badhri bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Negeri Sembilan di dalam kotak penalti namun beliau harus menyalahkan diri sendiri apabila memilih menyepak tinggi melepasi jangkauan Mohd Farizal.
The Red Warriors sekali lagi mengganas kali ini menerusi percubaan pemain gantian, Mohd Nurul Azwan Roya pada m-64 namun diselamatkan Mohd Farizal sementara Onyekachi Nwoha turut terlepas peluang apabila gagal menolak masuk bola sepuluh minit kemudian meskipun hanya berhadapan dengan Mohd Farizal.
Pada m-89 perlawanan, giliran Negeri Sembilan kembali mencemaskan pintu gol Kelantan menerusi percubaan Effa Owona setelah menerima umpanan pendek Mohd Firdaus Azizul namun rembatannya ditepis keluar Khairul Fahmi di gawang gol Kelantan.
Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri bagi kedua-dua pasukan, Chanturu memastikan beliau layak digelar wira The Red Warriors. Berpunca tandukan Nwaneri yang terkena tiang gol sebelah kiri hasil sepakan penjuru Mohd Badhri, Chanturu memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan pintu gol Negeri Sembilan dengan menolak masuk untuk gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan malam tadi.



2 comments:
salam..besarnya gamba..xleh kecik koooo?
buleh2..6t kawe wt..
Post a Comment